Monday, August 14, 2006
JUARA!
Tok Rimau dan Sinaganaga mengucapkan ribuan terimakasih kepada semua peserta yang bertungkus lumus menjayakan kejohanan ini. Bukan senang nak melayan karenah kami berdua.
Semua komen positif kami simpan dalam hidung bagi mengembangkan diameter hidung. Komen negatif yang membina pula kami jadikan panduan untuk projek buku kami yang berikutnya.
Saudara Kelambu akan dihubungi untuk proses penyampaian hadiah. Harap maklum.
Wednesday, August 09, 2006
ulasan (terlambat) ayah kita bos
***
Ayah Kita Bos - Terangsang
oleh : neeziee
blog : http://blog.neezmo.net
ayah kita bos?bos ayah kita?
aku tak kisah apa tajuknya
apa yang penting ialah isinya
berkulit cantik menambah ceria
pengantarnya saja dah buatku tertawa
nafsuku rakus laju membaca
bagai menyelak kain nak dara
mencari nokhtah penamat cerita
setiap muka rasa berbeza
setiap muka memberi makna
walaupun kosong ada cerita(rupanya)
mengekek sendiri bagai nak gila
bukan tulisnya bukan hiasnya
tapi tauladan coretan peristiwa
satu koleksi santapan jiwa
ayah kita bos, bos ayah kita...
***
--
http://www.neezmo.net
Tuesday, August 01, 2006
Ulasan AKB
Ayah Kita Bos - bacaan kanak-kanak yang sudah dewasa.
Oleh : Si Dugong.
Blog : http://dugongsenyum.blogspot.com
Harimau lebih suka berdiam memerhati, tapi pada masa yang sama sumbu akalnya sentiasa menyala terang. Ada sahaja ideanya untuk membuat mata kita bergolek-golek. Dalam banyak keadaan dia cuba membuat kita insaf, tapi kemudian dia akan menggeletek kita lagi dan lagi. Tapi jangan ketawa lemas dalam geleteknya, kerana sekali-sekala dikeluarkannya kuku, cakarannya pedih juga.
Naga selain mencatat kisah hariannya turut mengimbas kembali beberapa hiris kenangannya ketika di bumi sakura. Walau pun catatannya pendek-pendek namun sudah lebih daripada cukup untuk kita berfantasi macam-macam. Istimewanya Naga dalam ayatnya yang pendek itu dapat menggambarkan kepada kita betapa sejuk dan putihnya salji, suam-suam panasnya ofuro, sedapnya koko panas, dan lutut-lutut merah jambu gadis Jepun sentiasa bermain di ruangan mata. Juga kepada betapa bodohnya ikan koi birah.
Mengkhatam Ayah Kita Bos dari kulit ke kulit. Terasa semacam minda menerawang jauh mengekori aksara dan teks gubahan dua penulis (blogger) hebat iaitu Harimau dan Naga. Sekejap kita dibawa mendaki tangga-tangga hancing di rumah pangsa yang tinggi, sekejap lagi kita dibawa mandi ofuro dengan telanjang, habis membaca kita dapat kepuasan. Pada mereka, setiap pengalaman menarik (dan yang tidak menarik juga) yang mereka alami haruslah dikongsi bersama pembaca mereka. Mereka tidak lokek dengan pengalaman, mengenali mereka - tidak lokek dengan senyuman.
Friday, July 28, 2006
Ayah Kita Bos - Naskhah Yang Berputar
Tok Rimau, dia pemerhati rinci dan bijak. Catatan-catatannya bersifat marhaen, jujur dan emosinya meruntun jiwa. Dia berupaya mengolah pengalaman peribadi biasa menjadi entri-entri luarbiasa.
Membaca entrinya, aku membaca separuh dan berhenti. Aku biarkan diri meneka klimaks cerita yang akan dicoretkan. Dan setiap kali itulah aku tersilap menghitung klimaks Tok Rimau. Mengejutkan dan tiba-tiba. Dia pandai memukau di permulaan ayat, membiarkan pembaca ralit pada rentak cerita dan akhirnya merenjatkan pemikiran pembaca di penghujung entrinya.
Naga pula, dia bagaikan fenomena. Dia mencetuskan undang-undang baru dalam penulisan blog yang menjadi ikutan para penulis blog masa kini. Entri-entrinya kontot. Bahasanya tinggi dan berupaya menunggangterbalikkan struktur dan lingua bahasa semahu hatinya dengan cemerlang. Seperti Zidane yang tahu bagaimana mahu mengerjakan bola. Begitulah Naga. Dapat aku bayangkan bagaimana Naga mampu membancuh setiap entri sewenangnya apabila papan kekunci sudah di jemari.
Aku tidak peduli ceritanya benar atau dibuat-buat. Bagi aku, Naga, pengingat yang baik. Catatannya rinci. Dari sekecil-kecil corak baju, babak menyuapkan makanan, menjerit, ketawa, menangis sehinggalah ke efek-efek khas. Semuanya mampu dizahirkan melalui tulisan-tulisan hikmatnya.
Ya, Ayah Kita Bos. Naskhah sederhana. Tapi isinya sarat. Inilah pertama kali aku dapat menonton filem melalui tulisan. Ada banyak plot dan kronologi yang sentiasa berputaran di minda. Dan aku raikannya. Dan aku biarkan putaran itu bergelumang, meracau dan stabil semula dengan sendiri.
http://kelambu.blogspot.com
Friday, July 21, 2006
Ulasan Ayah Kita Bos
Ulasan Ayah Kita Bos dari Syazwan (http://syazwan.blogspot.com). Struggle ok untuk kurangkan sehingga 200 patah perkataan (cam ner aku boleh tulis 80pp masa UPSR dan 180pp masa PMR?)
Tulisan ini 199pp, ditulis selepas skali imbas Ayah Kita Bos (dibaca di Haagen Dazs di Lille, France) sbb kebosanan pagi tadi.
**********
Bila first time tengok buku ini dikeluarkan, rasanya cam: "Alahai, benda dah ada kat internet, buat apa nak beli". Tapi wan beli gak.Paling lawak, citer pasal keyboard not found tu. Kartun mulanya agak typical, tapi ada keunikkan: berakhir dengan JAHAT!
Jepun, berbeda dengan eropah, suka baca, tapi banyak perkataan jepun gagal difahami. Suka cerita Bumbung Aku Lantai Orang, sebab belum pernah wan tinggal di rumah macam tu. Buku terlalu hitam putih (sama la blog pun: template very the biasa)
Terlalu banyak cerita biasa, perlu banyakkan gambar, lawak yang tak menjadi, cam KODING banyak perkataan pasar, tapi tidak diboldkan Akhirnya, wan suka tiru beberapa entry, dan juga gaya penulisan: pengunaan + dan " ".
Ayat pengulangan dijumpa di beberapa entry. Rasanya ialah copy paste tanpa kaji balik buku sebelum diterbitkan. Pernah baca Jiwa Kacau, jadi banyak boleh skip. Aturan cerita tidak teratur. Agak naik turun. Tapi bila baca skit skit, anda tidak akan kisah.
Banyak entry yang boleh menyebabkan kita berfikir. Sebuah buku yang padat dengan tulis (namun masih memerlukan gambar) Bagus la. Jeles pulak dengan komuniti Geng Jurnal, korang tak nak jemput wan ke? Blur dengan nama jepun (tempat dan orang), terlalu banyak. Teringin nak terbitkan buku sendiri
**********
Ahmad Syazwan Muhamad Zanini
4 Rue Manuel 59000 Lillle France
http://syazwan.blogspot.com
Thursday, July 20, 2006
Ayah Kita Bos – bacaan kanak-kanak yang sudah dewasa.
Harimau lebih suka berdiam memerhati, tapi pada masa yang sama sumbu akalnya sentiasa menyala terang. Ada sahaja ideanya untuk membuat mata kita bergolek-golek. Dalam banyak keadaan dia cuba membuat kita insaf, tapi kemudian dia akan menggeletek kita lagi dan lagi. Tapi jangan ketawa lemas dalam geleteknya, kerana sekali-sekala dikeluarkannya kuku, cakarannya pedih juga.
Naga selain mencatat kisah hariannya turut mengimbas kembali beberapa hiris kenangannya ketika di bumi sakura. Walau pun catatannya pendek-pendek namun sudah lebih daripada cukup untuk kita berfantasi macam-macam. Istimewanya Naga dalam ayatnya yang pendek itu dapat menggambarkan kepada kita betapa sejuk dan putihnya salji, suam-suam panasnya ofuro, sedapnya koko panas, dan lutut-lutut merah jambu gadis Jepun sentiasa bermain di ruangan mata. Juga kepada betapa bodohnya ikan koi birah.
Mengkhatam Ayah Kita Bos dari kulit ke kulit. Terasa semacam minda menerawang jauh mengekori aksara dan teks gubahan dua penulis (blogger) hebat iaitu Harimau dan Naga.
Sekejap kita dibawa mendaki tangga-tangga hancing di rumah pangsa yang tinggi, sekejap lagi kita dibawa mandi ofuro dengan telanjang, habis membaca kita dapat kepuasan. Pada mereka, setiap pengalaman menarik (dan yang tidak menarik juga) yang mereka alami haruslah dikongsi bersama pembaca mereka. Mereka tidak lokek dengan pengalaman, mengenali mereka – tidak lokek dengan senyuman.
Friday, July 07, 2006
ulasan ayah kita bos. (diedit semula)
Lapan Jam Bersama Ayah Kita Bos
http://sukaatiaku.blogspot.com/2006/04/lapan-jam-bersama-ayah-kita-bos.html#links
Begini ceritanya. Selama lapan jam aku menahan perut, menahan emosi hanya kerana mentelaah sebuah kitab. Ya, kitab Ayah Kita Bos, semalam. Hari ini aku demam. Gangguan emosi, aku fikir.
Cis! Tulisan aku pendek-pendek. Terpengaruh Tok Naga ni.
Emosi aku terganggu, tidak tahu arahan mana harus aku ikut. Tok Naga atau Tok Rimau. Aku fikir, jika orang lain berada di situasi aku pasti begitu juga. Kedua-dua mereka menggunakan teknik propaganda jenis "Intentional vagueness" iaitu:
"Perkara dan isu umum yang sengaja dikaburkan maklumatnya supaya pembaca boleh memberikan tafsirannya sendiri. Ini adalah untuk mengelirukan pembaca dengan menggunakan ungkapan-ungkapan yang tidak tertakrif. Tanpa teranalisis kesahan tindakan mereka oleh pembaca, mereka (Tok Naga dan Tok Rimau) cuba untuk mendapatkan sokongan terhadap permintaan mereka itu. Keadaan ini akan menyebabkan pembaca memberi tafsiran mereka sendiri. Oleh itu, dalam percubaan untuk "mencipta" propaganda, pembaca akan membuat penghakiman terhadap idea-idea yang disampaikan oleh mereka (Tok Naga dan Tok Rimau)."
Cuba anda fahami kata-kata propaganda yang mereka tulis dalam autograf dalam buku saya ini.
"Baca dengan tertib. Jangan gelojoh." - Tok Rimau
"Esis, terus baca! Baca terus! Tabik." - Tok Naga
Aku keliru!!! Lalala. Seorang jangan gelojoh, seorang baca terus! Tapi tanpa prejudis aku dah habiskan buku Ayah Kita Bos. Lapan jam sahaja. Yeh! Sebenarnya yang paling penting, apabila aku baca buku ini. Aku dapat menganjakan paradigma pemikiran aku. Rupa-rupanya pengalaman hidup, sangat menarik apabila dibaca semula. Bukan hanya pengalaman tetapi pemerhatian hidup. Juga penghargaan hidup. Inilah kekuatan blook ini. Segalanya di garap dengan penuh kreatif serta menghiburkan. Walaupun kadangkala ia merupakan coretan sedih mereka. Lalala.
Coretan Tok Naga. Menggunakan "kaedah warna" dalam pembahagian setiap bab. Hijau, merah, ungu dan biru. Setiap warna melambangkan kehidupan suka dukanya dalam persekitaran hidup yang berbeza. Paling aku suka bab merah jambu, ketika beliau bermusafir (?) di Jepun. Artikel yang paling aku ingat ialah tentang magis emak Mayuki. Aku terfikir nak buatlah magis ikan kembung tu. Aku nak lawan Tok Naga. Mesti aku punya magis menjadi dengan mengeluarkan dading ikan daripada tulangnya tanpa tersisa.
Coretan Tok Rimau. Menggunakan kaedah tubuh dengan menggunakan keindahan tubuh badannya dalam pembahagian artikel. Ekor, taring, misai dan kuku. Walaupun ia bahagian kecil pada tubuh badan dan agak kurang penting, tapi Tok Rimau yang aneh berpendapat agak aneh kerana menggunakan pengkatogerian jenis ini. Sukahati kau lah ye. Antara artikel yang aku ingat ialah Motor Tong. Sehingga kini aku cuba mengimaginasikan rupa bentuk motor tong itu. Namun antara tulisan yang paling aku ingat dan terkesan sekali ialah kata-kata Jimson @ Sulaiman; "untung orang muslim boleh menemui penciptanya 5 kali sehari." "Kalau presiden atau jutawan, sorry la nak jumpa dia. Sekali sepanjang hayat kita pun belum tentu, kalau tiada kepentingan." Tulis Tok Rimau lagi.
Thursday, July 06, 2006
ulasan ringkas
(nota: Jika perlu disiarkan e-mel ini, sila padamkan alamat e-mel saya. t.kasih.)
ayah kita bos telah meneman perjalanan saya selama 2 hari. keputusan untuk membeli buku ini adalah kerana reputasi penulis dah bukan kerana tertarik dengan tajuknya. melihat kepada tajuknya sahaja saya khuatir ia akan dipenuhi cerita kanak-kanak gula-gula getah dengan pewarna 'pink'. tapi, assumption saya salah.
membaca ayah kita boss seperti pengalaman bersama boy-friend baru yang hensem serta menyukakan hati. kau sentiasa senyum, senyum dan senyum bila bersama dan rindu, rindu bila kelibatnya tidak kelihatan.
p/s tapi aku tak suka siri-siri komik kalian. remeh sangatkah perempuan di pandangan kalian????!!
PENULIS?
Tuesday, June 13, 2006
KEJOHANAN MENGULAS BUKU AYAH KITA BOS
Begitulah frasa terakhir dalam buku blog AYAH KITA BOS. Kami tidak tipu. Sungguh! Sebagai membuktikan kasih sayang kami kepada pembaca dan pembeli buku AYAH KITA BOS, dipersembahkan KEJOHANAN MENGULAS AYAH KITA BOS."TOK RIMAU dan SINAGANAGA sayang kamu! *ahak!* "
HADIAH-HADIAH MISTERI BERNILAI LEBIH RM200!
Hanya ada satu juara dan dia akan membolot semua hadiah.
Sebagai tanda kasih dan penghargaan kepada mereka yang telah membeli dan membaca AYAH KITA BOS, kami selaku pengarang buku menganjurkan:
KEJOHANAN MENGULAS BUKU AYAH KITA BOS
Cara-caranya:
1. Beli, baca dan tulis ulasan kritikal Ayah Kita Bos.
2. Ulasan mestilah tidak melebihi 200 patah perkataan.
3. E-mel* ulasan kamu ke harimauj.ayahkitabos@blogger.com
4. Tarikh Tutup: 1 Ogos 2006.
*Mel dalam default format tanpa mengubah gaya font dan jangan hantar dalam bentuk lampiran (attachment).
Hak kamu:
1. Menyiarkan ulasan tersebut di blog, forum atau mana-mana media.
2. Menulis apa yang anda suka dan tidak suka.
Hak kami:
1. Menyunting ulasan kamu, jika perlu.
2. Menyiarkan ulasan kamu.
3. Keputusan adalah muktamad. Sebarang e-mel mengomel, tidak akan dilayan.
SAMBUTLAH rasa kasih sayang dan tanda penghargaan kami ini, bersegeralah e-mel ulasan kamu.